Pusat Snooker, Siber Cafe Haram Diserbu

KLANG 12 OKT : Degil dan tidak pernah serik. Walaupun pernah diserbu dan disita oleh pihak berkuasa lebih tiga kali sebelum ini, sebuah pusat snooker yang turut menyediakan siber kafe dan pusat karaoke masih beroperasi.

Baru-baru ini, Majlis Perbandaran Klang (MPK) sekali lagi  menyerbu premis terbabit di Jalan Young dalam satu operasi khas, di sini.

Pada masa serbuan terdapat sekumpulan remaja yang leka bermain di situ.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPK, Shahrul Hazri Abdul Majid berkata, pemilik premis berkenaan tidak mempunyai lesen untuk siber kafe atau pusat snooker.

MPK mengambil tindakan untuk mensita tiga meja snooker dan sebuah meja pool di bawah Undang-Undang Kecil 23 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan (Selangor) 1995 (Pindaan 1998 dan 2001).

Beliau juga diambil tindakan di Undang-Undang Kecil 3 Pusat Siber Kafe dan Kafe Siber (MPK) 2007.

Pemilik premis tersebut turut dikenakan denda maksima RM 1,000.

“Operasi yang diadakan ini adalah hasil risikan dan maklumat awam yang peka terhadap persekitaran terutama gejala yang boleh meruntuhkan akhlak golongan muda terutama di kalangan pelajar sekolah ini.

“Malah premis ini juga boleh dikategorikan sebagai ?premis degil? kerana pernah beberapa kali diserbu dan disita atas pelbagai kesalahan termasuk menyediakan aktiviti karaoke yang menjejaskan ketenteraman setempat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, MPK tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengingkari peraturan dan menjelaskan pihaknya akan terus memperhebatkan operasi seperti itu pada masa akan datang di beberapa lokasi yang sudah dikenalpasti.


Pengarang :