12 Pemilik Tanah Melakukan Pembakaran Terbuka Akan Didakwa

elizabeth api johan setia 25 jun 01

KLANG , 25 JUN : Seramai 12 pemilik tanah yang melakukan aktiviti pembakaran terbuka di negeri ini sehingga menjejaskan kualiti udara alam sekitar akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

Menurut Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, pihak berkuasa tempatan juga memulakan proses untuk merampas tanah daripada individu-individu tersebut.

Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang mengenalpasti pemilik-pemilik tanah tersebut manakala kertas-kertas siasatan juga telah dibuka.

elizabeth api johan setia 25 jun 03“Kita akan tegas dalam perkara pembakaran terbuka ini. Ada pelbagai agensi yang sedang bekerjasama termasuk Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang membuat pemantauan dan pemadaman api-api kecil.

“Manakala api-api yang tidak dapat dikawal maka tugas itu akan dilaksanakan pemadamannya oleh pihak bomba,? kata Elizabeth.

Beliau berkata demikian apabila ditemui ketika lawatannya ke kejadian kebakaran di Kampung Johan Setia di sini hari ini.

“Kita di negeri Selangor telah membuat dasar bahawa jika pemilik tanah tidak menjaga tanah tersebut sehingga berlaku kejadian kebakaran dan membuat pemagaran sempadan maka akan dirampas,” kata Elizabeth.

Jelas beliau, kawasan di Johan Setia dan sekitarnya akan terus dipantau dari masa ke semasa agar memastikan tiada berlakunya kebakaran hutan dan ladang yang baru.

Katanya, kebakaran yang berlaku di situ kini masih berada dalam kawalan pihak Bomba dan Penyelamat dan kerja-kerja pemadaman keseluruhannya akan dipergiatkan.

“Dengan kerja 24 jam setiap hari sejak hujung Mei lepas dengan MPK dan pihak Bomba melaksanakan tugasannya memadam api.

“Kita menegaskan bahawa di mana tempat di negeri ini yang didapati tidak memadamkan api maka kita akan menggunakan tindakan undang-undang terhadap mereka.

Ujarnya, mereka yang terlibat akan didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, jika didapati bersalah akan didenda sebanyak RM 500,000 atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita akan menyeru pihak hakim kerana kita mempunyai mahkamah khas untuk isu-isu alam sekitar agar tidak hanya mendenda sahaja.

“Ia (adalah) langkah pencegahan agar orang ramai takut untuk melakukan kerja pembakaran terbuka,” kata beliau.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membuat pembakaran terbuka seperti pembakaran sampah dan sisa-sisa kebun yang boleh menjejaskan kualiti udara ekoran cuaca jerebu yang melanda negara.

“Kita menegaskan bahawa kini sudah ada larangan menyeluruh daripada berlakunya sebarang pembakaran terbuka tidak kira samada di kawasan perumahan atau kawasan pertanian dan sebagainya,” kata beliau.

 


Pengarang :