Bazar Ramadan di Jalan Cengal 4 tiada kelulusan MPKj

SHAH ALAM, 10 JUN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menjelaskan pihaknya tidak boleh memberi kelulusan perniagaan bazar Ramadan di Jalan Cengal 4, Taman Impian Ehsan yang menjadi viral di media sosial, baru-baru ini.

Penolong Pegawai Tadbir, Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Nadhirah Mohd Noor, berkata ini kerana pihaknya sudah meluluskan tapak bazar di belakang Pangsapuri Zapin.

Katanya, MPKj hanya meluluskan 34 lokasi pasar juadah tahun ini dan lokasinya boleh diperoleh menerusi laman sesawang pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

mpkj“Mana-mana penganjuran yang tidak berjaya sudah dimaklumkan pada bulan April. MPKj memang tidak luluskan penganjuran pasar juadah (bazar Ramadan) di Jalan Cengal 4 kerana mengganggu lalu lintas,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan kira-kira 50 peniaga yang mengadakan protes mendesak MPKj membenarkan mereka berniaga di Jalan Cengal 4, Taman Impian Ehsan, kelmarin.

Nadhirah berkata peniaga terbabit tidak mempunyai kelulusan berniaga di lokasi itu dan pelawaan penganjuran dibuka antara Januari hingga Februari, manakala permohonan dan pertimbangan dibuat pada Mac.

“Bagaimanapun peniaga terbabit masih diberi ruang menjalankan perniagaan di bazar yang sudah diberi kelulusan.

“Tapak perniagaan masih mencukupi di lokasi diluluskan, penjaja dialu-alukan mengisi kekosongan yang ada,” katanya.

MPKJSebelum ini, akhbar melaporkan seorang peniaga bertindak membakar gerai bazar Ramadan diusahakan sebagai tanda protes kepada MPKj apabila anggota penguatkuasa merampas kanopi perniagaan dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.05 petang itu, peniaga terbabit dikatakan tidak dapat menahan emosi apabila anggota penguatkuasa bertindak mengangkut peralatan perniagaan ketika mula beroperasi di tapak terbabit.

Sebelum itu, kira-kira 50 peniaga mengadakan protes mendesak MPKj membenarkan mereka menjalankan perniagaan di sepanjang Jalan Cengal 4, Taman Impian Ehsan.

-AA-


Pengarang :