Kementerian Persekutuan Harus Tunaikan Janji Bayar Bonus Pada Guru Sandara

hari guru halimah 16 mei 01

KUALA LUMPUR 11 JULAI : Kementerian Pelajaran didesak supaya menunaikan janjinya kepada guru sandaran untuk memberi bonus tahunan dan bayaran khas prestasi sepertimana yang dibentangkan di dalam Belanjawan 2013.

MP Kulai Teo Nie Ching menjelaskan dalam sidang media di Parlimen hari ini, beliau menerima aduan daripada tiga guru sandaran di kawasannya yang masih belum menerima bayaran itu bagi Disember tahun lepas dan Januari lalu.

“Semasa membentangkan Bajet 2013, Perdana Menteri menjanjikan semua kakitangan yang layak akan terima imbuhan sebulan setengah gaji.

“Bayaran dibuat tiga kali iaitu pada Ogos dan Disember tahun lepas serta Januari lalu.

“Malangnya tiga guru sandaran ini belum menerima bayaran imbuhan untuk Disember 2012 dan Januari lalu dan diharapkan mendapat perhatian Menteri Pelajaran serta Perdana Menteri untuk menyelesaikannya,” katanya.

Teo berkata, semakan dibuat di Pejabat Pelajaran Daerah Kulai mendapati masih ramai guru sandaran lain yang belum menerima bayaran imbuhan berkenaan.

Katanya, kerajaan harus menunaikan janji dibuat kepada rakyat.
Beliau turut berasa kerajaan akan memberikan imbuhan sama kepada kakitangan kerajaan sempena Aidilfitri tahun ini.

Tiga guru sandaran itu ialah Koh Xing Zhao, 22; Pang Chian Jien, 23 dan Tan Lian Huay, 37, dari SJKC Senai, Johor.

Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 2012, bayaran sebulan setengah gaji atau minimum RM1,500 akan diberikan pada Ogos 2012, Disember 2012 dan Januari 2013 dengan antara yang layak ialah pegawai tetap, sementara, ‘contract of service’ dan guru sandaran.


Pengarang :