SELANGOR

Kerusi DUN Semenyih kosong, Kerajaan Negeri serah pada SPR

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 JAN: Kerajaan Negeri sudahpun menyerahkan notis kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim berkata, pihaknya menerima sijil kematian dari ahli keluarga Allahyarham Mohd Bakhtiar Mohd Nor pada pagi semalam.

“Maka dengan ini kita serahkan kepada SPR untuk mengadakan mesyuarat bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil Semenyih dalam tempoh 60 hari,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Bakhtiar meninggal dunia pada 11 Januari lalu dipercayai akibat sakit jantung di Hospital Kajang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Mohd Bakhtiar menang kerusi DUN Semenyih dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM).


Pengarang :