SELANGOR

Perkasa IWB, PWB tingkatkan pembuat dasar wanita

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 15 JAN: Kerajaan Negeri komited untuk mempergiatkan lagi program pemberdayaan wanita melalui dua agensi utama iaitu Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB).

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, PWB adalah platform utama wanita untuk mendapatkan latihan pengupayaan menerusi aspek kepimpinan, pembinaan kapasiti dan kemahiran asas.

Katanya, ia sebagai persediaan untuk wanita diangkat ke tahap yang lebih tinggi sekali gus menjadi pemimpin di peringkat komuniti, daerah dan negeri.

“Untuk melihat pembabitan wanita dalam politik, kita perlu pemimpin wanita di peringkat akar umbi.

“Ia akan membolehkan kita memilih pemimpin wanita yang berkualiti dan membolehkan golongan ini menjadi pembuat dasar di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Seminar Nasional Wanita dan Politik: Ke mana hala tuju politik negara, di Hotel Armada, di sini, hari ini.

Dr Mariah berkata, fenomena kemajuan dunia, perkembangan ilmu pengetahuan dan ke pelbagai aktiviti sosial masyarakat ketika ini memerlukan pembabitan wanita secara aktif sebagai pembuat keputusan politik, ekonomi dan sistem pilihan raya.

Justeru, katanya, peranan semula jadi yang pelbagai akan membentuk paradigma untuk nilai tambah kepada pemain politik sedia ada.

“Nilai tambah seperti empati, peduli dan bersifat rahmah ini bukan sahaja berkualiti, tetapi prihatin dalam usaha memberdaya dan mengupaya generasi baru yang merupakan pelapis masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, pembabitan wanita dalam politik signifikan sejak zaman kemerdekaan.

Katanya, situasi itu dilihat ketika pilihan raya pertama peringkat tempatan pada 1952, iaitu empat calon wanita mengambil bahagian daripada 32 calon bertanding untuk kerusi Dewan Bandaran Kuala Lumpur.

“Keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu, memperlihatkan rakyat Selangor mengangkat 12 orang Ahli Dewan Negeri (ADN) wanita, manakala tiga daripadanya memenuhi kuota sebagai EXCO.

“Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mencapai hampir sasaran dengan 29.16 peratus.

“Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri merealisasikan dasar 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar,” katanya.

 


Pengarang :