EXCOSELANGOR

Mangsa rumah terbakar dalam perancangan duduk rumah sendiri

HULU SELANGOR, 20 OGOS: Tiga beranak yang maut dalam kebakaran di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, di sini dalam perancangan menetap di rumah sendiri, kata bapa mangsa, Abdul Aziz Idris.

Abdul Aziz, 58, berkata, anaknya, Mohd Sharidan, 29, bagaimanapun tidak sempat melihat mahupun menetap di rumah baharunya yang sedang dalam pembinaan apabila ditemui rentung bersama menantu, Siti Rafini Mohd Rafiee, 27, dan cucunya, Rafiq Mohd Sharidan, 14 bulan dalam insiden Ahad lalu itu.

“Kediaman yang terbakar itu adalah rumah sewa anak kami yang arwah duduk sementara menunggu rumah baharu milik mereka yang sedang dibina di kawasan berhampiran siap.

“Namun usia mereka tidak panjang untuk melihat apatah lagi menetap di situ,” katanya yang menahan sebak ketika ditemui SelangorKini hari ini.

Kata Abdul Aziz, kematian serentak anak, menantu serta cucu kesayangannya itu meninggalkan kesan mendalam kepada dia, isteri dan seluruh keluarga memandangkan Mohd Sharidan dan Siti Rafini memang dikenali sebagai pasangan yang sangat menghormati orang tua.

Keadaan rumah arwah Mohd Shahridan, 29 terlibat dalam kejadian kebakaran di Kampung Alah Batu, Slim River yang meragut nyawa tiga beranak itu mendapat perhatian Kerajaan Negeri menghulurkan sumbangan kepada keluarga arwah. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Mereka memang tidak pernah abaikan tanggungjawab sebagai anak dan menantu, sering datang ke rumah kami masak dan makan bersama selain mereka amat gemar makan masakan ibunya (isteri).

“Kali terakhir mereka datang rumah kami pada Ahad lalu (siang) ketika itu ada majlis pertunangan sepupunya yang berlangsung di rumah kami.

“Saya tidak nampak perbezaan tingkah laku mereka sebaliknya ketiga-tiganya kelihatan sangat gembira, cucu juga begitu aktif namun siapa sangka hanya sekelip mata Allah meragut nyawa mereka,” katanya.

Terdahulu, beliau ditemui di lokasi kejadian pada majlis serahan bantuan bencana oleh Kerajaan Negeri yang disampaikan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, pagi tadi.

Sementara itu, ibu Mohd Sharidan, Jemilah Ramli, 57, pula berkata, dia hanya mahu menyelamatkan anak menantu dan cucunya selepas ternampak api membakar rumah tiga beranak itu, namun sempat ditahan suaminya.

“Saya memang tidak sedar dan terkejut dengan keadaan menimpa, api marak begitu pantas namun apakan daya mungkin ini semua ketentuan Allah,” katanya sambil akui sentiasa terbayang wajah Allahyarham hampir setiap hari.


Pengarang :