Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Trump minta pemimpin Pakistan-India bertenang

WASHINGTON, 20 OGOS: Presiden Donald Trump menggesa pemimpin Pakistan dan India tidak mencetuskan sebarang ketegangan berhubung isu Jammu dan Kashmir yang dikuasai India, lapor agensi berita Anadolu.

Trump berkata demikian menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.

“Ketika bercakap dengan dua kawan baik saya, saya mahu mereka berdua berusaha mengurangkan ketegangan di Kashmir,” tulis Trump di Twitternya.

Ketegangan di antara Pakistan dan India semakin memuncak susulan langkah India membatalkan status istimewa Jammu dan Kashmir yang membolehkan penduduknya menggubal undang-undang mereka sendiri dan menghalang orang luar menetap di wilayah itu.

Pemimpin dan penduduk Kashmir gusar sekiranya usaha itu merupakan percubaan India untuk mengubah demografi negara.

Wilayah di Himalaya itu sebahagiannya dikuasai India manakala sebahagian lagi oleh Pakistan dan dituntut secara keseluruhan oleh kedua-dua negara.

Sejak berpisah pada tahun 1947, kedua-dua negara telah berperang sebanyak tiga kali iaitu pada 1948, 1965 dan 1971 dengan dua daripadanya adalah kerana berebutkan Kashmir.

– BERNAMA


Pengarang :