Muhammad Helmi Firdaus mencuba kerusi roda bermotor sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) ketika Program CSR Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) di Pangsapuri Enggang, Puchong pada 22 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penghidap ‘Hydrocephalus’ terharu terima kerusi roda bermotor

PUCHONG, 22 OKT: Kerusi roda bermotor yang diterima menjadi hadiah paling bermakna bagi penghidap penyakit Hydrocephalus atau kepala besar, Muhammad Helmi Firdaus Abdul Halid, 22, selepas berdepan kesukaran berdiri dan berjalan ekoran penyakit kronik itu sejak kecil.

Kerusi roda berkenaan disumbangkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor menerusi Bisnes Amal MBI di rumahnya di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6 di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, kerusi roda elektrik yang dilengkapi indikator tahap kelajuan dan bateri disumbangkan bagi memudahkan pergerakan anak bongsu daripada tiga beradik itu menjalani rutin harian.

“Ini antara salah satu pendekatan CSR MBI dalam menyantuni golongan memerlukan. Keputusan membekalkan kerusi roda elektrik kerana ia lebih efisien dan sesuai untuk kegunaan hariannya.

“Dia (Helmi) bukan sahaja duduk di rumah, tetapi sebenarnya perlu berulang alik ke tempat kerja di Puchong Perdana.

“Walaupun Orang Kelainan Upaya (OKU), tetapi dia tidak pernah berputus asa dengan ujian ini, sebaliknya terus bekerja keras demi menyara kehidupan kakak dan ibunya,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Ketua Pegawai CSR Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Mohd Jaafarudin Mohd Ali. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sumbangan diserahkan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan turut dihadiri Pegawai Kordinator Program Yayasan Hydrocephalus Negara, Nur Iman Rusdi.

Pada masa sama, MBI turut menghulurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM3,000 kepada ibu pemuda terbabit, Hasazila Mohamed Hashim, 46, yang menderita penyakit buah pinggang dan jantung.

Sementara itu, Helmi yang mesra disapa sebagai Amy mengakui terharu atas keprihatinan MBI menyumbangkan kerusi roda berkenaan memandangkan dia sudah lama menantikan bantuan seumpama itu.

“Saya gembira dan berterima kasih dengan bantuan ini kerana seumur hidup saya tidak pernah pakai kerusi roda.

“Saya tidak tahu untuk balas macam mana, sebaliknya hanya mampu berdoa semoga Allah SWT murahkan rezeki penyumbang,” katanya yang sebelum ini pernah bergerak menggunakan papan luncur.

Bagaimanapun, Amy yang kini bekerja secara kontrak sebagai penjaga dan pencuci tandas awam sejak empat tahun lalu berkata, dia tidak pernah menganggap status OKU sebagai halangan untuk bekerja demi menyara kehidupan menggunakan wang hasil titik peluh.

Elizabeth Wong (dua, kiri) menyerahkan sumbangan kerusi roda bermotor kepada Muhammad Helmi Firdaus (tengah), turut sama Mohd Jaafarudin Mohd Ali (kanan) ketika Program CSR MBI di Pangsapuri Enggang, Puchong pada 22 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Buat masa sekarang, walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda saya akan terus tolong ibu mencari rezeki selagi kudrat masih ada.

“Dalam pada itu, saya harap ibu bapa di luar sana yang memiliki anak OKU supaya terus memberikan semangat jika anak mereka mahu bekerja dan jangan halang, tetapi kena pantau juga,” katanya sambil menitiskan air mata.

Sebelum ini, kisah hidup Helmi yang penuh inspirasi disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan dengan menunjukkan pengorbanan pemuda OKU itu dalam mencari rezeki halal kerana perlu memikul tanggungjawab sebagai tulang belakang keluarga.

Lebih luluh, dalam paparan berkenaan, dia yang lumpuh daripada pinggang ke kaki menyatakan keinginan untuk mendapatkan pekerjaan tetap untuk terus menyara kehidupannya sekeluarga.

Pada masa ini, Amy mendapat bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Difahamkan, sebagai usaha mencari pendapatan tambahan, dia turut mengutip besi buruk dan tin untuk dijual.

Pembaca yang ingin menyumbang boleh menghubungi Hasazila Mohamed Hashim di talian 011 6194 7550 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1013129000075371 Muhammad Helmi Firdaus.


Pengarang :