Datuk Saifuddin Abdullah (dua, kanan) bertanya khabar keadaan Shamsul Bahrin Md Shukur semasa menyambut ketibaan enam rakyat Malaysia yang terlibat dalam kemalangan di Afyonkarahisar, Turki baru-baru ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kumpulan terakhir mangsa kemalangan di Turki selamat tiba

SEPANG, 22 OKT: Kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang kemalangan ketika sedang mengikuti rombongan di Turki pada minggu lalu selamat tiba di tanah air malam ini.

Mereka merupakan enam peserta daripada 34 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mengalami kecederaan serius akibat kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia pada 16 Oktober lalu.

Mereka adalah Shahmun Ishak; Zurani Mohamad Darum; Amim Mohamad Darum; Norzakiah Mohd Akhir; Shamsul Bahrin Md Shukur dan Mohd Zain Sarman.

Kemalangan tersebut turut mengorbankan seorang kakitangan PKNS, Azalan Miswan, 50.

Turut menyambut ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Semalam, 27 kakitangan PKNS itu yang terselamat dalam kemalangan terbabit pulang ke tanah air manakala jenazah Azalan dibawa pulang Sabtu lepas.

Saifuddin ketika ditemui media berkata keenam-enam akan terus dibawa ke Hospital Pakar Avisena, Shah Alam, Selangor bagi rawatan lanjut.

“Saya bersyukur mereka selamat pulang ke tanah air, dan suka mengingat kepada rakyat Malaysia untuk belajar dari pengalaman ini agar mempunyai ejen pelancongan baik dan mengambil insurans ketika melancong di luar negara,” katanya.

Katanya, amalan terbaik yang ditunjukkan PKNS ketika mengendalikan situasi tersebut dengan cekap dan baik wajar dicontohi organisasi lain dan rakyat Malaysia amnya.

Mohd Azizi berkata PKNS telah menghantar kumpulan khas untuk mengurus dan membantu mangsa-mangsa kemalangan di sana selain mendapatkan bantuan daripada pihak Kedutaan Malaysia di Turki.

Salah seorang mangsa, Mohd Zain Sarman yang cedera di bahagian muka berkata dirinya bersyukur urusan beliau di sana dipermudahkan walaupun menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan orang tempatan.

“Saya berterima kasih kepada PKNS dan pihak kedutaan yang membantu kami untuk pulang segera ke tanah air,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :