Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin meninjau lokasi Kolam Tasik Idaman, Dengkil bagi menangani isu pencemaran bekalan air di Sungai Semenyih pada 23 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Air Selangor berhasrat kendali IWK elak pencemaran berulang – MB

DENGKIL, 23 DIS: Kerajaan Negeri menerusi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam perancangan mengendalikan sendiri peranan Indah Water Konsortium (IWK) bagi mengelakkan kes pencemaran berulang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, perkara terbabit sudah diutarakan kepada Kerajaan Pusat ekoran kualiti air yang ditetapkan kepada IWK rendah berbanding dikehendaki Air Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika bercakap pada sidang media mengenai isu pencemaran bekalan air di Kolam Tasik Idaman, Dengkil pada 23 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Contoh pada peringkat IWK yang merekodkan 0 ton (kadar bau pencemaran) iaitu tiada berlaku pencemaran bau, disebabkan itu mereka boleh melepaskan air berkenaan ke sungai secara terus dan tidak melanggar undang-undang.

“Sebaliknya, pada peringkat Air Selangor, kualiti yang dikatakan baik kepada IWK itu memberi impak pencemaran sehingga lima kali ganda. Jadi berlaku perbezaan piawaian di situ,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kolam Tasik Idaman bersama EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian di sini, hari ini.

Oleh itu, katanya, Kerajaan Negeri berpendapat pihaknya perlu melakukan sesuatu berkaitan masalah itu bagi mengelakkan kes pencemaran yang sudah tiga kali berlaku di sungai-sungai Selangor.

Terdahulu dilaporkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas pada Sabtu lalu bagi mengelak air tercemar disalur kepada pengguna.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 1.5 juta pengguna di sebahagian kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.


Pengarang :