Dato’ Seri Amirudin meninjau lokasi Kolam Tasik Idaman, Dengkil mengenai isu pencemaran bekalan air pada 23 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.
BERITA UTAMASELANGOR

Pencemaran Sungai Semenyih: Bekalan air dijangka pulih tengah malam ini

BANGI, 23 DIS: Lebih 1.5 juta pengguna yang terjejas akibat pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dijangka menerima semula bekalan air selewat-lewatnya tengah malam ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, sehingga kini proses meningkatkan air di loji rawatan sedang giat dilakukan dan sekiranya tiada halangan penduduk akan menerima bekalan bermula jam 6 petang hingga lewat malam.

Dato’ Seri Amirudin meninjau lokasi Kolam Tasik Idaman, Dengkil mengenai isu pencemaran bekalan air pada 23 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

“Bekalan tidak dapat disalurkan segera berikutan ukuran bau pencemaran turut berubah. Sebelum ini kita (Kerajaan Negeri) jangka dapat beri bekalan bermula tengah malam semalam, tetapi ia tidak dapat dibuat kerana kualiti yang meragukan.

“Saya buktikan menerusi rekod, bacaan bau pencemaran pada jam 1 hingga 3 petang semalam di Sungai Beranang ialah 0 ton (ukuran kadar bau) namun pada jam 7 pagi ia naik kepada satu ton.

“Keadaan sama berlaku di Sungai Semenyih apabila kadar bacaan berubah daripada 0 ton kepada dua ton pada jam 8 pagi. Ketidakstabilan bacaan ini sekali gus menyebabkan kita tidak berani menyalurkan air kepada pengguna.

“Ini kerana apabila air keluar daripada paip ia akan mengeluarkan bau dan sudah tentu ia tidak meyakinkan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Kolam Tasik Idaman bersama EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, sebanyak 24 juta liter air sehari akan disalurkan dari Kolam Tasik Idaman Dengkil ke Sungai Semenyih bagi membolehkan kadar pencemaran bau dicairkan.

Katanya, pada masa sama Air Selangor juga menggunakan pelan kedua dengan menggunakan bekalan dari Air Langat 2 ke Terminal Bangi.

“Pelan itu telah membolehkan kira-kira 50,000 pemegang akaun dalam proses menerima bekalan air, dan ingin saya ingatkan kepada pengguna supaya tidak panik apabila kembali menerima bekalan kali ini.

“Ia bagi mengelakkan kejadian terputus bekalan berlaku sekali lagi dan kes yang serupa sudahpun berlaku pada Jun dan Julai lalu.

“Saya juga ingin jelaskan penerimaan bekalan air tidak sama seperti bekalan elektrik kerana prosesnya lebih mengambil masa,” katanya.

Terdahulu dilaporkan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas bagi mengelak air tercemar disalur kepada pengguna.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 1.5 juta pengguna di sebahagian kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.


Pengarang :