Orang ramai memenuhi Dataran Putrajaya bagi menyambut ambang Tahun Baharu 2020 serta Majlis Penutup Festival Light and Motion Putrajaya 2019 (LAMPU 2019) serta Pelancaran Sambutan Jubli Perak Putrajaya pada 31Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dr Mahathir sertai ribuan pengunjung saksi Festival Lampu 2019

PUTRAJAYA, 1 JAN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malam gtadi menyertai ribuan pengunjung di Dataran Putrajaya di sini menyaksikan acara penuh warna-warni Festival Light and Motion Putrajaya 2019 (LAMPU 2019).

LAMPU 2019 melabuhkan tirainya hari ini bersempena ambang tahun baharu 2020 dan pelancaran sambutan jubli perak Putrajaya, menampilkan persembahan ‘Projection Mapping’ sinaran lampu berwarna-warni dengan motif tertentu dipancarkan di fasad Bangunan Istana Kehakiman.

Sejurus tiba di Dataran Putrajaya pada 10 malam tadi dan disambut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, Dr Mahathir bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali disajikan dengan persembahan ‘Grand Projection Mapping’ LAMPU 2019 melibatkan tujuh segmen.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan selepas merasmikan penutup Festival Light and Motion Putrajaya 2019 (LAMPU 2019) serta merasmikan sambutan Jubli Perak Putrajaya di Dataran Putrajaya pada 31 Disember 2019. Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr. Aminuddin Hassim. Foto BERNAMA

Ia termasuk mengenai kejayaan Malaysia dari segi pembangunan, infrastruktur dan sukan yang turut menyelitkan lagu ‘Ekor Harimau Sejati’, yang sering dinyanyikan Ultras Malaya ketika memberi sokongan kepada pasukan bola sepak kebangsaan.

Bertemakan “Beautiful Malaysia”, LAMPU yang memasuki tahun ketujuh penganjuran itu mengetengahkan konsep kepelbagaian etnik dan budaya Malaysia dalam persembahannya sejak festival itu bermula pada Ahad lepas.

Selain persembahan projektor video di fasad Bangunan Istana Kehakiman, LAMPU 2019 turut menampilkan beberapa tarikan baharu antaranya ‘Planetarium 360’.

Persembahan tersebut diikuti gimik pelancaran sambutan Jubli Intan Putrajaya sempena 25 tahun penubuhan pusat pentadbiran Persekutuan itu oleh Dr Mahathir sebelum diakhiri dengan ucapan ringkas Perdana Menteri sempena tahun baharu 2020.

Sejurus persembahan berakhir, Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah meninggalkan majlis bagi menghadiri sambutan ambang tahun baharu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

– BERNAMA


Pengarang :