Pertunjukan bunga api pada sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 1 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ambang 2020 Selangor hiburkan 15,000 pengunjung

SHAH ALAM, 1 JAN: Sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan di sini meriah dengan dihadiri hampir 15,000 pengunjung.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, berbeza dengan tahun sebelum ini apabila sambutan kali ini berkonsepkan karnival dalam skala yang lebih besar.

“Sambutan ambang tahun baharu adalah acara tahunan yang dilakukan Kerajaan Negeri Selangor bertujuan menyediakan pelbagai aktiviti dan hiburan berinformasi buat pengunjung,” katanya.

EXCO Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman berucap pada Sambutan Ambang Tahun 2020 Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 1 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada program Sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, malam tadi.

Katanya, program ini merupakan platform untuk belia dan komuniti Selangor sama-sama meraikan kedatangan tahun baharu.

Sambutan kali ini bermula seawal jam 10 pagi dengan pengunjung tidak putus-putus sehingga detik 12 malam.

Antara aktiviti yang mendapat sambutan ialah pertandingan Sepakan Penalti, ‘Netball Funshooting, ‘Beyblade’, E-games dan Pertandingan Drone.

Pada sebelah malam diadakan solat berjemaah dan berselawat serta qasidah.

Sambutan lebih rancak apabila tibanya persembahan perarakan pancaragam pelbagai budaya yang antara lain menampilkan Tarian Singa, Bangra, Silambam, Gendang dan Serunai, Kompang Berirama dan Bag Pipe.

Turut memeriahkan suasana ialah acara Night Run dengan pelepasan peserta dilakukan berhampiran pentas utama.

Sambutan yang menampilkan Yana Samsudin dan Alif sebagai pengacara turut dihangatkan dengan persembahan penyanyi popular, Black, Syamel serta Ernie Zakri.

Sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 diakhiri dengan pertunjukan bunga api berirama tepat detik 12 malam.

Selangor mengadakan pertunjukan bunga api bagi meraikan kedatangan 2020 selepas 15 tahun ia dihentikan.


Pengarang :