AGENDANASIONAL

PKP: Hanya kerja kritikal dibenarkan

SHAH ALAM, 23 MAC: Kerajaan hanya membenarkan kerja pembinaan dan penyenggaraan yang kritikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 hingga 31 Mac, kata Kementerian Kerja Raya.

Kementerian itu memaklumkan sektor pembinaan juga tertakluk kepada PKP tetapi kerajaan memberi kebenaran kepada kerja kritikal yang jika tidak diteruskan boleh mendatangkan bahaya atau kemudaratan kepada pekerja, orang awam atau persekitaran.

“Sebagai contoh kerja kritikal ialah melakukan pembaikan cerun, penampalan lubang bawah tanah, Pusat Pemantauan Trafik, pemeriksaan berkala dan pembaikan lif, eskalator, peralatan mekanikal dan elektrikal kritikal termasuk yang rosak serta pembaikan lampu trafik.

“Kerja penyenggaraan dan naik taraf fasiliti di premis perkhidmatan kritikal, pembinaan jambatan bailey di lokasi jambatan roboh, kerja kecemasan yang termaktub dalam perjanjian kontrak, pengeringan air serta penyemburan racun serangga bagi mengelakkan pembiakan aedes dan kerja lain yang jika tidak disempurnakan boleh mendatangkan bahaya,” jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun, semua pengecualian itu perlu mendapat syor daripada pegawai penguasa atau pengarah projek bagi projek kerajaan dan jurutera residen atau orang utama yang mengemukakan (PSP) bagi projek swasta.

Kementerian itu juga berkata, kontraktor tidak boleh membuat sebarang tuntutan kepada kerajaan atau dipertanggungjawabkan atas kerugian dialami bagi projek pembinaan dan penyelenggaraan kerana penyebaran wabak Covid-19 adalah di luar kawalan.

Berkenaan sama ada projek terkesan dengan pelaksanaan perintah ini boleh diberi lanjutan masa, ia bergantung kepada klausa kontrak ditandatangani.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian hotline di 03-5567 2777 (Unit Aduan Industri) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia dari jam 8 pagi hingga 5 petang.


Pengarang :