Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas taklimat dan perkongsian e-bazar raya Selangor di Bilik MTES SUK, Shah Alam pada 5 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

E-dagang bantu peniaga kecil Selangor terjejas ketika Covid-19

SHAH ALAM, 15 MEI: Peniaga kecil tidak mengharapkan bantuan modal semata-mata sebaliknya mereka turut memerlukan platform berniaga untuk terus maju ketika penularan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’  Seri Amirudin Shari berkata susulan itu  Kerajaan Selangor akan terus menyediakan peluang perniagaan e-dagang dengan lebih meluas selain bantuan modal dan ilmu perniagaan ketika musim Covid-19 dan selepas wabak.

“Saya percaya peniaga bukan hanya berdepan masalah wang untuk menampung mereka namun paling penting adalah bagaimana mahu sediakan ruangan baharu untuk mereka,” kata beliau ketika menjadi panel  Wacana Post Covid-19 menerusi siaran langsung Facebook malam tadi.

Turut sama dalam program kendalian Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji di Perak iaitu Howard Lee Chuan How ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Amirudin berkata, keperluan aspek itu dapat dilihat menerusi pelaksanaan program e- Bazar Raya Selangor dengan kerjasama pengendali e-dagang terkemuka, Shopee apabila sasaran 2,000 peserta tercapai hanya dalam beberapa hari.

“Jadi sekarang bukan hanya isu modal tetapi bagaimana untuk ubah peniaga daripada mengendalikan jualan langsung ke dalam talian. E-dagang platform yang besar dan akan bantu ekonomi Kerajaan Negeri,” katanya.

Bulan lalu Kerajaan Negeri dengan kerjasama Shopee mengumumkan program e-Bazar Raya Selangor dengan menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro memasarkan produk secara dalam talian.

Usaha itu bagi membantu mereka menjana pendapatan ketika musim perayaan ekoran terjejas akibat Covid-19.

Peniaga menyiapkan tempahan yang dibuat melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :