BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Khidmat Bas Smart Selangor kekal percuma – Sze Han

SHAH ALAM, 15 MEI: Kerajaan Negeri akan mengekalkan khidmat percuma Bas Smart Selangor walaupun Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengkaji cadangan menaikkan tambang pengangkutan awam negara ini.

EXCO Pengangkutan Awam, Ng Sze Han berkata perkhidmatan pengangkutan percuma diteruskan demi kemudahan rakyat selain mengalakkan penggunaan pengangkutan awam di negeri ini menjelang 2035.

“Bas Smart Selangor tetap akan disediakan oleh Kerajaan Negeri secara percuma.

“Inisiatif ini akan diteruskan demi membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat selain mencapai hasrat Kerajaan Negeri menggalakkan penggunaan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Katanya, sehingga September tahun lalu, perkhidmatan Bas Smart Selangor memberi manfaat kepada 38.6 juta pengguna menerusi 41 laluan disediakan di seluruh negeri.

Kerajaan Negeri membelanjakan RM78.6 juta merangkumi kos operasi dan penyelenggaraan membabitkan lebih 130 buah bas yang digunakan setiap hari.

Sze Han berkata demikian bagi mengulas laporan media berhubung MOT akan mengkaji cadangan menaikkan tambang pengangkutan awam susulan kerugian pengusaha pengangkutan awam yang terpaksa mengurangkan bilangan penumpang bagi setiap perjalanan sebagai mematuhi peraturan penjarakan sosial ketika wabak Covid-19.


Pengarang :