Orang awam memilih baju raya di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 18 Mei 2020 sebagai persediaan menyambut Aidilfitri minggu depan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

PBT pantau ketat bazar Aidilfitri minggu terakhir Ramadan

SHAH ALAM, 7 MEI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau ketat bazar Aidilfitri pada minggu terakhir Ramadan bagi memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan peniaga dan pengunjung.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata anggota penguat kuasa bersama polis melakukan rondaan sepanjang masa di enam bazar yang beroperasi luar bangunan membabitkan Seksyen 7 (dua), 23, U5 dan U20 (dua).

“Walaupun pemantauan setakat ini mendapati keadaan masih terkawal namun kawalan diteruskan bagi memastikan tiada pelanggaran SOP antaranya masa operasi, jumlah pengunjung dihadkan mengikut keluasan dan larangan membawa masuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun,” kata Shahrin Ahmad ketika dihubungi.

Beliau turut memaklumkan pihaknya tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun dan menutup operasi bazar sekiranya penganjur gagal mematuhi syarat digariskan.

Sementara itu, ketua bahagian pengurusan penjaja dan jabatan pelesenan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata pendekatan sama dilakukan ke atas satu-satunya bazar Aidilfitri di daerah tersebut iaitu di Selayang Mall yang menempatkan 30 peniaga.

Menurut Syairah Zahidi Baki, meskipun tiada jumlah anggota tetap ditugaskan di lokasi namun kawalan pematuhan SOP dijalankan dari semasa ke semasa.

“Antara syarat am permit perayaan dikeluarkan kepada penganjur adalah perlu memastikan SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi.

“Bagaimanapun, tiada apa-apa pelanggaran dikesan sejak ia beroperasi pada awal Ramadan dengan penganjur mewujudkan penjarakan khemah dan patuh syarat lain ditetapkan,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar mengarahkan operasi bazar Ramadan di enam daerah dikenakan PKP dihentikan bermula esok.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bazar Aidilfitri dan pasar malam dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam dengan mematuhi syarat ketat.

Enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan PKP mulai semalam hingga 17 Mei manakala Kuala Selangor, Sabak Bernam serta Hulu Selangor kekal dalam kawasan PKP Bersyarat.

 


Pengarang :