AGENDASUKANKINI

Pasukan ragbi kebangsaan dijenama semula sebagai ‘Bunga Raya’

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bersetuju untuk melakukan penjenamaan semula nama pasukan ragbi kebangsaan sebagai pasukan “Bunga Raya”.

Setiausaha Agong Ragbi Malaysia Amrul Hazarin Hamidon ketika dihubungi Bernama berkata penjenamaan semula ini yang diputuskan dalam mesyuarat EXCO adalah untuk menyelaraskan penggunaan nama pasukan ragbi seperti mana dilakukan oleh World Rugby.

“Kita nak selaras dengan penjenamaan yang dibuat oleh World Rugby. Tiada lagi penggunaan wanita atau lelaki jadi ia akan hanya dikenali dengan satu nama.

“Bila kita selaraskan semua nama pasukan dengan satu nama maka penjenamaan pun sudah tetap. Ini adalah pelan strategi kami (KRM) dalam memudahkan pencarian dana untuk mendapatkan penajaan dalam menghadapi perlawanan yang akan datang.” katanya kepada Bernama semalam.

KRM kini mempunyai tiga pasukan ragbi yang diberi gelaran pasukan ragbi kebangsaan 15 sebelah dikenali sebagai “Bunga Raya”, pasukan ragbi lelaki tujuh sebelah sebagai “Rimau Sevens”, pasukan ragbi wanita tujuh sebelah sebagai “Panthera Ladies” dan kesemuanya akan diselaraskan dengan nama “Bunga Raya”.

Dalam pada itu, Amrul turut berkata KRM dalam proses menghasilkan identiti korporat sendiri selepas sambutan Aidilfitri ini di mana penggunaan logo KRM akan diguna pakai mengikut standard yang ditetapkan.

Sementara itu, Amrul memaklumkan Pasukan Bunga Raya 7 sebelah sedang mengadakan latihan dalam menghadapi persediaan perlawanan Asia Rugby Sevens Series Siri 1 yang bakal diadakan di Incheon, Korea Selatan, Ogos depan.

-BERNAMA


Pengarang :