Orang ramai menunggu giliran sebelum menjalani saringan Covid-19 percuma di gelanggang bola keranjang Pusat Komuniti Bandar Utama, Damansara pada 25 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pekerja LRT 3 sertai Saringan Komuniti, risau jadi ‘pembawa senyap’ virus

DAMANSARA, 26 MEI: Seramai 12 pekerja Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Stesen GS01 menjalani saringan komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama bagi memastikan diri mereka bebas wabak Covid-19 semalam.

Wakilnya Mohd Haris Halimuddin berkata dia bersama rakan sekerja hadir secara berperingkat mulai 10 pagi meskipun tidak mengalami sebarang simptom atau menjadi kontak rapat kes positif.

“Sekarang banyak varian baharu. Kita pun tidak tahu diri kita bebas virus itu atau menjadi ‘pembawa senyap’.

“Jadi bila dimaklumkan ada saringan percuma ini, kami buat keputusan jalani saringan. Selain dapat kesan jangkitan, ia juga dapat dapat menjimatkan kerana percuma,” katanya kepada SelangorKini.

Raja Azhar Raja Azlan

Mohd Haris,32, turut memuji kepantasan saringan dari proses pendaftaran hingga ujian calitan.

Raja Azhar Raja Azlan, 53, turut bersetuju dengan pandangan berkenaan malah berpuas hati dengan informasi serta layanan diberikan petugas.

“Tak perlu tunggu lama. Setiap proses diberikan maklumat lengkap. Jadi sangat berbaloi untuk datang.

“Keadaan rakan yang kritikal mendorong saya jalani saringan ditambah dengan penemuan varian baharu. Saya tidak mahu ambil risiko,” katanya.

Sementara itu, surirumah Noraini Syed Muda,42, datang menjalani ujian bersama dua anak serta seorang anak saudara selepas ramai jirannya di Pelangi Damansara disahkan positif.

Saringan percuma dijalankan di Dewan Komuniti Bandar Utama Tiga dan Dewan Serbaguna SS3/14, masing-masing melibatkan DUN Bandar Utama dan Kampung Tunku semalam.


Pengarang :