Orang ramai beratur menunggu giliran bagi membuat ujian calitan ketika Saringan Komuniti di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh pada 26 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 3,000 hadir Saringan Komuniti DUN Paya Jaras

SUNGAI BULOH, 26 MEI: Lebih 3,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras mendaftar pada program Saringan Komuniti di Dewan MBSA Paya Jaras hari ini.

Wakil rakyat Mohd Khairuddin Othman berkata jumlah itu menunjukkan tahap kesedaran orang awam terhadap kepentingan saringan bagi mengesan pandemik.

“Semalam sahaja, 2,700 individu telah mendaftar menerusi aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) dan kita jangka lebih ramai akan datang kerana hari ini merupakan cuti umum.

“Bagi memastikan program berjalan lancar, sebanyak lapan kaunter dibuka termasuk dua laluan khas dikhususkan untuk ibu mengandung, kanak-kanak dan warga emas,” katanya ketika ditemui hari ini.

Orang ramai beratur menunggu giliran bagi membuat ujian calitan ketika Saringan Komuniti di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh pada 26 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mohd Khairuddin berkata pihaknya turut menyediakan 3,500 bungkusan makanan berisi roti dan air untuk diagihkan kepada peserta sementara menunggu giliran.

“Peserta yang mengalami masalah tertentu seperti tidak dapat berjalan atau sebagainya, kita sediakan kerusi roda bagi memudahkan urusan mereka,” katanya.

Selain DUN Paya Jaras, saringan percuma yang bermula jam 9 pagi hingga 4 petang turut diadakan di Dewan Komuniti Damansara Damai bagi DUN Damansara Damai.

Sejak 8 Mei hingga kelmarin, seramai 36,780 individu menyertai 20 Saringan Komuniti Covid-19 melibatkan DUN sekitar Gombak, Hulu Langat serta sebahagian Petaling.

Kerajaan Selangor menjalankan pengawasan Covid-19 secara aktif menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sehingga 10 Jun ini.


Pengarang :