Petugas kesihatan memberi suntikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Seri Serdang di Aurora Place Bukit Jalil pada 9 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 13,000 dapat pelalian negeri di PPV Aurora Place sejak Jun

BUKIT JALIL, 9 OGOS: Lebih 13,000 individu menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place di sini sejak dibuka pada 26 Jun, kata penyelarasnya.

Nur Zulhafizah Zakaria berkata suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) membabitkan 6,700 penerima dos pertama manakala selebihnya dos kedua.

“Mereka ini terdiri daripada masyarakat setempat yang mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi Selvax Komuniti dan Industri yang didaftar oleh majikan.

“Secara purata, kuota sehari sekitar 2,000 hingga 2,500 dos, namun jumlah yang hadir tidak seramai itu setiap hari kecuali hujung minggu atau cuti umum akan cecah lebih 2,000 sehari,” katanya.

Sementara itu, Nur Zulhafizah menjangka seramai 2,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang akan divaksin hari ini melalui Selvax Komuniti.

“Kita juga mengalu-alukan mereka yang masih belum menerima vaksin untuk hadir ke sini kerana kita beri peluang sehingga 13 Ogos bagi suntikan tanpa janji temu,” katanya.

Selangor melancarkan Selvax pada Jun lalu bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini membabitkan kos RM200 juta.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

 


Pengarang :