Orang ramai beratur bagi mendapatkan vaksin Covid – 19 ketika Program Vaksin Selangor (Selvax) DUN Hulu Bernam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Orang Ramai, Hulu Bernam, Hulu Selangor pada 9 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Teruja mahu dapatkan vaksin negeri, penduduk datang satu jam awal

HULU SELANGOR, 9 OGOS: Teruja untuk mendapat suntikan pelalian Covid-19 menyebabkan orang ramai hadir satu jam awal dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam hari ini.

Penyelaras DUN berkata penduduk mula berkumpul di hadapan Dewan Orang Ramai Hulu Bernam sejak jam 8 pagi walaupun pendaftaran hanya dibuka sejam kemudian, namun mereka kekal mematuhi tatacara operasi piawai.

Menurut Amran Sakir ada juga yang hadir terus (walk in) dengan tiba pada sebelah pagi walaupun pemberian pelalian kepada kumpulan itu hanya dijadualkan jam 2 petang.

“Mereka tetap diberi vaksin pada sebelah pagi bagi mengelakkan mereka menunggu terlalu lama.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam, Amran Sakir

“Ramai datang awal mungkin kerana teruja mendapat vaksin lebih-lebih lagi dalam keadaan kes harian Covid-19 semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Amran berkata pusat khidmat DUN Hulu Bernam menyediakan 40 sukarelawan untuk melancarkan perjalanan program dua hari berakhir esok itu kerana menjangkakan kehadiran pengunjung ramai.

“Seramai 2,100 orang mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) manakala 400 lagi disasarkan hadir terus.

“Kehadiran sukarelawan membantu melancarkan proses hari ini, banyak masalah terutama membabitkan pengunjung tidak memuat naik aplikasi SELangkah kerana tidak mengetahui caranya serta tiada telefon pintar,” jelasnya.


Pengarang :