Persembahan kebudayaan Mah Meri Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Kuala Langat ketika majlis Perjumpaan Pemimpin Masyarakat Orang Asli Negeri Selangor Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Tok Batin syukur terima bonus, ringankan beban pentadbiran

SHAH ALAM, 8 JULAI: Pengumuman bonus oleh Kerajaan Negeri sehingga RM1,000 kepada pemimpin Orang Asli pada Oktober ini membantu mengurangkan bebanan pentadbiran.

Tok Batin Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Banting, Rahman Pahat, 44, berkata beliau tidak menyangka menerima manfaat tersebut.

Rahman Pahat

“Peranan Tok Batin bukanlah perkara mudah khususnya ketika hendak membangunkan komuniti di kampung.

“Malah, pengumuman pemberian peruntukan geran juga dinanti kerana ia perlu dalam merakyatkan ekonomi masyarakat Orang Asli sekaligus merapatkan silaturahim,” katanya pada Majlis Perjumpaan Pemimpin Orang Asli Selangor bersama Dato’ Menteri Besar di Pusat Konvensyen Shah Alam semalam.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Tun Abdul Razak, Kuala Khubu Baru, Asu Dollah berkata kenaikan elaun daripada RM900 kepada RM1,500 merupakan pengumuman yang dinanti sejak 20 tahun lalu.

Asu Dollah

Beliau yang berusia 64 tahun dan menjadi Tok Batin sejak 1985 memaklumkan elaun dibayar kerajaan pusat berjumlah RM900 sudah lama tiada kenaikan.

“Kami sudah tunggu lama kerana perkara ini (kenaikan elaun) sudah dibawa lama. Kenaikan ini memudahkan kami melakukan kerja.

“Apabila pengumuman MB (Menteri Besar) saya berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri membantu Orang Asli,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 150 pemimpin Orang Asli menerima bonus pada Oktober ini sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Tok Batin menerima RM1,000 manakala pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) masing-masing menerima RM500 dan RM250.

Menerusi Belanjawan 2023 pula, beliau akan mencadangkan elaun Tok Batin ditambah RM600 menjadikan jumlah keseluruhan RM1,500 sesuai dengan gaji minima ditetapkan pentadbiran.


Pengarang :