AGENSISELANGOR

LZS sebar luas pendidikan zakat di lebih 500 sekolah Kafa

SHAH ALAM, 25 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyebarluaskan pendidikan zakat dalam kalangan pelajar sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi Modul Pendidikan Zakat Selangor yang diperkenalkan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Sabirin Mohd Sarbini berkata modul itu melibatkan 553 sekolah membabitkan sekolah rendah, menengah serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) bermula Mac lepas.

Beliau berkata langkah itu diambil sebagai strategi jangka masa panjang yang memupuk karakter dan budaya masyarakat dalam meletakkan zakat sebagai ibadah penting selain menyuntik kesedaran dalam kalangan generasi muda.

“Modul Pendidikan Zakat Selangor ini digunakan bagi sesi pembelajaran 268,412 pelajar sekolah rendah (251, 456) dan menengah (16,956) di bawah seliaan JAIS.

“Pelaksanaan pembangunan modul ini dibangunkan menggunakan peruntukan Fisabilillah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM248,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Turut hadir Mufti Selangor Datuk Anhar Opir dan Pengarah Jais Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Mengenai silibus zakat itu, Sabirin berkata ia terbahagi kepada lima modul membabitkan satu modul untuk pelajar sekolah rendah dan empat modul bagi pelajar sekolah menengah bermula tingkatan satu hingga empat merangkumi aspek penilaian peperiksaan.

“Antara isi kandungan lima modul ini merangkumi perkara asas seperti ibadah zakat, pengertian zakat, rukun zakat, jenis-jenis zakat, pengurusan zakat di Selangor (kutipan dan agihan), pengiraan zakat, prinsip agihan zakat, pengurusan amil, perundangan dan fatwa zakat.

“Kandungan modul ditulis dengan lengkap berserta rujukan, kajian dan hujahan yang menyokong setiap isi yang dibahaskan. LZS juga kerjasama dengan Bahagian Pendidikan Islam JAIS bagi memantau pelaksanaan modul dari semasa ke semasa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :