PBTSELANGOR

MPKj laksana penjenamaan semula aset, langkah ke arah bandar raya

SHAH ALAM, 25 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melaksanakan penjenamaan semula aset-aset miliknya sejak awal tahun ini sebagai usaha ke arah bandar raya, kata yang dipertuanya.

Najmuddin Jemain berkata aset-aset berkenaan meliputi dewan komuniti, kompleks sukan, Stadium Kajang, perhentian bas, taman rekreasi awam, tempat pelancongan, taman perumahan dan medan selera.

“Bagi memperkuat imej MPKj, semua dewan-dewan giat dijenamakan semula bagi menggambarkan semua aset dan kemudahan ini milik kita sekali gus tanda penduduk mengingatinya.

“Ia juga merupakan timbal balas pandangan umum terhadap usaha MPKj bagi merealisasikan hasrat ke arah bandar raya yang mana perubahan imej baru ini telah dilaksanakan secara berperingkat mulai awal tahun ini,” katanya pada Mesyuarat Majlis Bil 8/2022 MPKj semalam.

Pada masa sama, Najmuddin memaklumkan pihaknya juga dalam proses pengindahan landskap bagi pemasangan papan tanda di kompleks sukan dan pusat rekreasi.

“Kita juga sedang mempertimbang reka bentuk baharu perhentian bas dalam kawasan MPKj supaya lebih moden dan menarik perhatian.

“Namun semua ini dilaksana dengan tertakluk kepada peruntukan seperti mana dimaklumkan kita dalam fasa merangka belanjawan majlis dan mempertimbang perkara ini,” katanya.


Pengarang :