Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Bendera Selangor dikibar separuh tiang, hormati Ratu Elizabeth II mangkat

SHAH ALAM, 15 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan agar bendera Selangor dikibar separuh tiang sempena kemangkatan Ratu Elizabeth II bermula Sabtu sehingga Isnin.

Setiausaha Kerajaan Negeri berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi menzahirkan hubungan baik Baginda dengan bekas Raja Britain dan sebagai tanda hormat atas pemergiannya.

Menurut Dato’ Haris Kasim, sehubungan itu Majlis Mesyuarat Kejaan Negeri menjunjung titah Tuanku dan mengarahkan semua jabatan dan agensi mengibar bendera negeri separuh tiang.

Pada 9 September, Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland dan dijangka akan disemadikan pada 19 September ini di London.

Sebelum ini, Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan takziah kepada kerabat diraja Britain dan rakyat negara itu atas kehilangan tersebut.

Sultan Sharafuddin bertitah Ratu Elizabeth II akan sentiasa diingati dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang sebagai seorang raja yang mendedikasikan hidupnya untuk berkhidmat kepada rakyat.


Pengarang :