Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Insentif haji, MBI pertimbang lanjut tempoh permohonan

KLANG,15 SEPT: Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI bercadang melanjutkan permohonan insentif Haji Muassasah susulan menerima permintaan daripada beberapa wakil rakyat.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata beberapa ahli dewan negeri (ADN) ada menghantar surat permohonan supaya insentif tersebut dilanjutkan kerana masih ada kuota.

“Kita menerima permohonan daripada wakil rakyat meminta insentif ini disambung dan bercadang melanjutkan kerana masih terdapat kuota lagi.

“Sasaran MBI 3,000 permohonan dan setakat ini sebanyak 2,800 permohonan diterima, ada 200 kuota lagi. Kita akan pertimbang dan keputusan berhubung perkara ini dimaklum minggu depan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Insentif Haji Muassasah Selangor yang tertangguh dua tahun akibat Covid-19 diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat yang bakal menunaikan haji.

Dibuka bermula 23 Mei, penerima yang layak akan menerima tunai RM500 dan kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

Antara syarat permohonan mestilah warganegara Malaysia, tawaran menunaikan haji pada tahun ini dan beralamat di Selangor atau mendaftar di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji.

Setakat 31 Ogos, sebanyak 2,800 permohonan insentif Haji Muassasah diterima daripada jemaah seluruh negeri.


Pengarang :