Pengunjung menunjukkan barangan asas yang dibeli sempena Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 14 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah jimat belanja rakyat, mungkin diteruskan tahun depan

SABAK BERNAM, 14 OKT: Jelajah Ehsan Rakyat mencatatkan nilai jualan harian sehingga RM19,000 berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan setiap lokasi penganjuran merekodkan antara 400 ke 500 pembeli dengan ayam dan telur kekal terlaris.

“Jadi bermula minggu ini bekalan ayam di setiap lokasi ditambah daripada 300 kepada 500 ekor.

“Kita yakin bekalan semua produk mencukupi hingga akhir tahun ini sekali gus dapat meringankan beban rakyat dalam berbelanja,” kata Mohd Hasri Abu Hassan.

Beliau yang ditemui dalam program jualan di Stadium Sungai Besar hari ini menambah jualan murah yang berakhir awal Disember ini berkemungkinan diteruskan sehingga awal tahun hadapan.

“Perkara ini masih dibincangkan dengan beberapa pihak tertentu namun kami yakin ia akan diteruskan memandangkan manfaatnya yang besar kepada rakyat,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program kendalian PKPS di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 6 September hingga 6 Disember melibatkan 160 lokasi.

Inisiatif berkenaan menawarkan barang keperluan asas seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :