Medan selera Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) ditawarkan kepada penjaja yang terkesan susulan perobohan binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahru Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, Puchong, Subang Jaya pada 24 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ: Penggredan premis pastikan makanan dijual selamat, bersih

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi Jabatan Kesihatan menggariskan kriteria penggredan premis makanan di kawasan pentadbirannya bagi memastikan makanan yang dijual bersih, sihat dan selamat untuk pelanggan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata tahap kebersihan setiap premis makanan dinilai menerusi sistem pemarkahan iaitu 90 hingga 100 peratus (kategori A), 80 hingga 89 peratus (kategori B), 79 hingga 65 peratus (kategori C) dan 65 hingga 0 peratus (diarah tutup).

“MBSJ mewajibkan pengendali makanan mendapatkan suntikan typhoid (Ty2) selain menghadiri kursus pengendali makanan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain itu pengendali makanan juga wajib memakai penutup kepala, apron serta kasut bertutup dan bersih. Mereka juga perlu pastikan kuku pendek serta bersih selain memakai pelitup muka,” maklumnya menerusi Facebook.

MBSJ berkata melalui kriteria itu juga pengendali disyaratkan tidak merokok, tidak memakai cincin, gelang atau sebarang aksesori tangan.

Selain itu peraturan pengendalian makanan juga mensyaratkan pengendali makanan supaya tidak meludah dan menggunakan peralatan memasak yang rosak sumbing atau pecah.

Premis makanan di bawah seliaannya juga perlu memiliki lesen perniagaan MBSJ yang sah selain mempunyai perangkap sisa gris (grease trap) dan sentiasa diselenggara.

“Premis juga mesti melakukan kawalan serangga perosak lilati (lipas, lalat dan tikus) setiap bulan dan pastikan premis bebas daripada lilati. Malah perlu menggunakan sumber air yang bersih daripada paip.

“Makanan mentah atau yang telah dimasak hendaklah sentiasa ditutup bagi mengelakkan pencemaran silang,” katanya.

MBSJ memaklumkan pengendali perlu memastikan penyediaan dan pengendalian makanan dilakukan dalam ketinggian 0.5 meter dari lantai selain itu stor penyimpanan makanan mesti sentiasa bersih dan kemas.

Manakala stok makanan mesti disimpan pada ketinggian 20 sentimeter (cm) dari lantai selain memastikan premis mereka mempunyai tong sampah yang mencukupi dan bertutup.

Pengendali juga wajib menggunakan perkakas yang sesuai (penyepit senduk dan lain-lain) semasa mengendalikan makanan.

 


Pengarang :