Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap pada Majlis Perutusan Pengerusi Mais 2023 di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 27 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mais: Henti perbuatan bangkit kemarahan, hormati kitab suci setiap agama

SHAH ALAM, 27 JAN: Insiden membakar al-Quran adalah satu tindakan provokasi untuk menyemarakkan kemarahan umat Islam, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata umat Islam terutamanya di negara ini tidak pernah membakar mana-mana kitab suci agama lain seperti yang dilakukan oleh pihak pelampau di luar negara.

“Al Quran ini kitab suci umat Islam. Kalau ada orang yang membakarnya, seolah-olah ia bakar umat Islam ini hidup-hidup.

“Ini macam mempersendakan dan membakar kemarahan umat Islam. Negara itu perlu ambil tindakan kepada rakyatnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perutusan Pengerusi Mais 2023 di Masjid Negeri di sini hari ini.

Sabtu lalu pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, dan membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Perdana Menteri dalam kenyataannya pada Ahad lalu menegaskan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik Sweden tersebut.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Sweden perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara berkenaan.


Pengarang :