Beregu profesional negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Low Juan Shen. Foto Facebook INFO Badminton Sedunia
AGENDASUKANKINI

Dua beregu lelaki mula langkah kanan, mara ke pusingan kedua Masters Thailand

BANGKOK, 1 FEB: Dua beregu lelaki negara bermula langkah kanan apabila berjaya melepasi halangan masing-masing pada kejohanan badminton Masters Thailand 2023 di Stadium Nimibutr, di sini semalam.

Pasangan profesional Nur Mohd Azriyn Ayub-Low Juan Shen melangkah ke pusingan kedua selepas mengecewakan wakil Korea Selatan Jin Yong – Na Sung Seung 21-18, 21-14 dan akan berdepan Chiu Hsiang Chieh-Yang Ming Tse dari Taiwan.

Beregu muda negara Low Hang Yee-Ng Eng Cheong pula melepasi pusingan kelayakan selepas mengalahkan pasangan dari India Hariharan Amsakarunan-Ruban Rethinasabathi Kumar 22-20, 21-13.

Mereka akan berdepan lawan dari Indonesia Sabar Karyaman Utama-Moh Reza Pahlevi Isfahani pada pusingan pertama hari ini.

Bagaimanapun, nasib berbeza buat gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah yang terpaksa tunduk kepada pasangan Indonesia Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan 21-19, 19-21, 21-14.

Turut terkandas gandingan Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci apabila tewas kepada pasangan Taiwan Su Shing Heng-Ye Hong Wei 21-23, 21-19, 15-21.

Sementara itu, bekas juara remaja Asia Leong Jun Hao juga gagal melepasi pusingan pertama aksi kelayakan apabila tewas kepada rakan senegara yang juga pemain profesional Yeoh Seng Zoe 24-22, 21-19.

Yeoh yang mempamerkan aksi menarik bagaimanapun terpaksa tunduk kepada wakil Hong Kong Chan Yin Chak 21-15, 18-21, 21-9 pada pusingan kedua kelayakan, sekali gus gagal mara ke pusingan utama.

Tiga wakil perseorangan lelaki Malaysia bakal beraksi pada pusingan pertama hari ini iaitu Ng Tze Yong dan dua pemain profesional Cheam June Wei dan Soong Joo Ven.

Tze Yong akan berdepan pemain dari Brazil Ygor Coelho manakala June Wei dan Joo Ven masing-masing akan menentang wakil tuan rumah Kantaphon Wangcharoen dan Yin Chak.

Wakil perseorangan wanita S. Kisona yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan lepas pula akan berdepan Pornpicha Choeikeewong dari Thailand pada pusingan pertama. – BERNAMA


Pengarang :