Rakan Strategik Agihan Fidyah Mais mengagihkan pek makanan kepada penerima pada 16 November 2022. Foto Facebook Majlis Agam Islam Selangor
AGENSISELANGOR

Mais-MyEG rancang kerjasama permudah kutipan fidyah, kaedah bayaran lebih efisien

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 15 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerima lawatan syarikat perkhidmatan digital MyEG kelmarin bagi membincangkan kerjasama strategik berkaitan kutipan fidyah dan kaedah pembayaran yang lebih efisien.

Pengarah Baitulmal Mais Indera Shahril Mohd Shahid berharap kerjasama berkenaan dapat dijayakan demi kepentingan umat Islam dalam melunaskan tanggungjawab berkenaan.

“Semoga jalinan kerjasama ini dapat mengeratkan hubungan dua hala di antara Mais dan MyEG,” katanya di Facebook.

Majlis Agama Islam Selangor menerima lawatan syarikat perkhidmatan digital MyEG di ibu pejabat Mais, Shah Alam pada 13 Februari 2023. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor

Bertempat di ibu pejabat Mais di sini, kunjungan MyEG diketuai Eksekutif Kanan Bahagian Projek Sha Raiza Abd Razak manakala Mais diwakili Ketua Bahagian Harta Baitulmal Mohd Romzi Abdullah Sani.

Tahun lalu, Mais mengagihkan sejumlah RM3.38 juta agihan fidyah kepada 20,931 penerima sepanjang Januari hingga November.

Daripada jumlah itu RM1.55 juta diagihkan kepada 14,333 penerima menerusi sumbangan kotak makanan manakala RM1.83 juta lagi diagihkan kepada 6,598 penerima dalam bentuk wang tunai.

Masyarakat Islam yang ingin membayar fidyah secara dalam talian boleh berbuat demikian menerusi pautan fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php


Pengarang :