Pembeli menunjukkan barangan keperluan yang dibeli ketika pelancaran Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Jalan PJS 2C/5, Flat PKNS, Petaling Jaya pada 9 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Jualan mega raya tawar 36,700 ayam, waktu dilanjut hingga 2 petang

PETALING JAYA, 9 APRIL: Jualan Mega Ehsan Aidilfitri bakal diadakan pada 15 dan 16 April ini di enam lokasi dengan lebih banyak barangan keperluan disedia termasuk 36,700 ayam.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata waktu jualan juga dilanjut dari 9 pagi hingga 2 petang bagi memberi ruang penduduk mendapat keperluan menjelang raya.

“Program ini dianjurkan lagi bagi meringankan beban rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dalam menyediakan kelengkapan menu hari raya.

“Kita percaya jualan mega ini bakal memanfaatkan kepada lebih 50,000 dan jualan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1.5 juta dengan 30 peratus subsidi daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim melakukan gimik pelancaran Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Jalan PJS 2C/5, Flat PKNS, Petaling Jaya pada 9 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Balai Raya MBPJ di sini hari ini.

Ir Izham menjelaskan program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) tidak terhenti pada tarikh tersebut tetapi terus dianjur sehingga 20 April di sembilan daerah.

Pada 15 April, jualan dijadual berlangsung serentak di pekarangan Stadium Sungai Besar, Pantai Batu Laut dan tapak bazar Ramadan Batang Kali.

Program sama akan disambung keesokannya di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Pasar Muhibbah Setia Alam selain sekitar Sungai Tua.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Turut dijual barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.


Pengarang :