Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE)
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Sucikan jiwa daripada penyakit hati, ilmu tasawuf penawarnya

Agama seseorang tidak akan sempurna tanpa akhlak atau adab. Selain akidah dan fekah, ilmu tasawuf penting dipelajari bagi membersihkan jiwa sehingga terbitnya akhlak mulia.

Untuk itu Kerajaan Negeri melalui projek buku Siri Pencerahan Selangor menterjemah kitab penting Purification of the Heart karya tokoh Islam terkenal Hamza Yusuf.

Buku bahasa Inggeris ini diterjemah sebagai Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya, asalnya olahan kitab Matharatul Qulub karangan Syeikh Muhammad Maulud Ya’qub dari Mauritania.

Menurut Hamza, ulama ini sangat mahir dalam bidang tasawuf seperti karangannya itu yang merujuk beberapa karya penting agamawan klasik termasuk Ihya’ Ulumuddin Imam al-Ghazali.

Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang menjayakan Siri Pencerahan Selangor, memberi tanggungjawab kepada Abdul Jabbar Md Salleh, 28, menterjemah karangan Hamza itu.

Wartawan NAZLI IBRAHIM bersoal jawab dengan beliau secara bertulis pada 3 April mengenai usaha penterjemahan Purification of the Heart dan pentingnya panduan mengenali penyakit hati.

Kitab Matharatul Qulub karangan Syeikh Muhammad Maulud Ya’qub

Mengapa memilih buku ini?

Barisan penerbitan IBDE banyak yang tumpu kepada aspek-aspek lain, seperti politik dan ideologi. Memandangkan ilmu tasawuf dan penyucian hati tidak kurang pentingnya berbanding ilmu-ilmu lain, maka wajar buku ini dipilih.

Mengapa memilih pengarang Hamza Yusuf?

Hamza Yusuf dibesarkan di Washington, Amerika Syarikat dalam suasana Kristian Katolik. Beliau merupakan tokoh yang banyak berkelana mencari ilmu Islam daripada cendekiawan di serata dunia. Tulisannya ini menggabungkan kerencaman pengalaman dan pandangan alam seorang Barat melalui kaca mata Islam dengan baik.

Apa yang menarik mengenai karya ini pada pandangan anda?

Bagi penterjemah, meskipun karya ini diolah daripada tulisan Imam Maulud (1844-1905), ia mudah untuk dikaitkan dengan kehidupan seharian pembaca zaman ini.

 

Dalam pengetahuan anda, wujudkah penulis tempatan menghasilkan karya sebaik atau sama hebat dengan buku Penyucian Kalbu?

Barangkali ada, tetapi saya tidak berpeluang membacanya.

Apakah cabaran ketika menterjemah karya dari segi bahasa dan lain-lain?

Penulis buku Purification of the Heart, Hamza Yusuf

Buku ini merupakan terjemahan daripada Purification of the Heart yang berbahasa Inggeris, manakala Purification of the Heart pula diterjemah dan diolah daripada Matharatul Qulub yang berbahasa Arab.

Jadi saya perlu memahami kedua-dua bahasa tersebut dengan baik. Sebahagian buku ini membincangkan sudut tasawuf yang rumit, jadi terjemahannya juga rumit. Saya juga cuba menulis bait-bait syair dalam bentuk yang mirip bentuk asalnya, tetapi ternyata agak sukar.

Apa ilmu baharu yang diperoleh ketika menterjemah karya ini?

Banyak tafsir, hadis, kisah dan ilmu-ilmu yang saya dapati daripada buku ini. Saya terutamanya tertarik kepada satu perspektif yang dipetik oleh Hamza Yusuf, yang digunakan sebagai syarahan, yakni bukan matan asal Matharatul Qulub.

Seorang ulama mentafsirkan ayat al-Quran—ketika dia jatuh sakit—“Manakala apa yang bermanfaat buat manusia maka ia tetap tinggal di bumi (13:17),” dengan mengatakan bahawa ayat ini menunjukkan belum masanya untuk beliau mati, merujuk kepada dirinya sebagai penyebar manfaat, maka dia layak berharap untuk terus hidup demi tujuannya itu.

Berapa lama proses terjemahan?

Terjemahannya mengambil masa sekitar enam bulan.

Adakah karya ini menyentuh cara mengenali kaedah penyucian kalbu yang betul atau sebaliknya?

Ya, ada. Hamza Yusuf menyebutkan orang yang gopoh dan melampau dalam tasawuf/tazkiyah ini antara lainnya mereka yang terseleweng apabila mereka terlalu bergelut mengelak murka Allah atau sewaktu mengejar rahmah-Nya.

Mereka mungkin akan mengikut jalan sebahagian orang yang mengutuk hampir semua orang dan semua tindakan, atau jalan para pemuja Tuhan yang jahil seperti tasawuf yang melampau sehingga merumuskan bahawa segalanya adalah satu, dan semua orang akan memasuki syurga tanpa mengira akidahnya dan sejauh mana ia menyelewengkan wahyu Allah, serta bagaimana dia berdusta tentang Allah dan sifat-Nya.

Apa mesej dan pengajaran dalam karya ini yang boleh dijadikan iktibar kepada pembaca?

Jika kita mengamati ujian dan dugaan, perang dan persengketaan lainnya serta semua aksi kezaliman di seluruh bumi, kita akan mendapati semuanya berakar di hati manusia.

Jika hati manusia sejahtera, kejahatan itu tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, jika kita mahu mengubah dunia, kita tidak boleh bermula dengan memperbetulkan penampilan luaran. Sebaliknya kita perlu mengubah keadaan dalam diri kita. Daripada dunia ghaib timbulnya alam zahir. Daripada alam ghaib dalam hati terhasil semua tindakan.


Pengarang :