EXCO Hal Ehawal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd Fakru Radzi Ab Ghani (kanan) melepaskan konvoi kembara Ramadan PREC pesca 2023 di SACC Mall, Shah Alam pada 11 April 2023. Foto REMY ARIFIN
AGENDANASIONAL

Konvoi Kembara Ramadan PREC serah RM30,000 bantu empat rumah kebajikan

SHAH ALAM, 11 APRIL: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menyalur sumbangan RM30,000 kepada empat rumah kebajikan di Selangor menerusi Konvoi Kembara Ramadan hari ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata agihan bantuan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan asas bagi meringankan perbelanjaan harian rumah kebajikan terbabit.

Fakru Radzi Ab Ghani memaklumkan rumah kebajikan terlibat ialah Pusat Jagaan Titian OKU Nur Rawang; Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas, Puchong; Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf An Naafi, Ampang serta Rumah Amal Al Firdaus, Denai Alam.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) Fakru Radzi Ab. Ghani. Foto REMY ARIFIN

“Rumah kebajikan ini dipilih hasil penilaian dan lawatan di samping khidmat nasihat Lembaga Zakat Selangor (LZS). Kita mahu beri semula kepada masyarakat melalui agihan wakalah zakat,” katanya.

Beliau ditemui selepas pelepasan konvoi kembara berkenaan yang disempurnakan EXCO Hal Ehwal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni di pusat beli-belah SACC Mall di sini.

Dalam pada itu, Fakru berkata program tanggungjawab sosial korporat yang disertai 80 warga kerja PREC dan anak syarikat Park Here Sdn Bhd serta Central Holdings Berhad menyantuni 201 asnaf dan anak yatim.

Menurutnya, kakitangan tersebut dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut rumah sukan masing-masing dalam Kelab Sukan dan Rekreasi PREC.

“Kakitangan berpeluang mengeratkan ukhuwah bersama penghuni dengan melakukan pelbagai aktiviti menarik antaranya sesi bersama maskot, kuiz, bercerita serts menghias rumah kebajikan.

“Kita harap ia memberi keceriaan kepada penghuni rumah berkenaan sempena Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi,” katanya.


Pengarang :