AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Waktu operasi Festival Ramadan dilanjut hingga 12 tengah malam

SHAH ALAM, 11 APRIL: Waktu operasi perniagaan Festival Ramadan Selangor (Festira) di tiga lokasi dilanjut hingga 12 tengah malam mulai hari ini, berbanding 10 malam sebelum ini.

PKNS Real Estate (PREC) memaklumkan festival di pusat beli-belah SACC, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi itu turut dibuka hingga 2 pagi menjelang tiga hari Syawal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Fakru Radzi Ab Ghani menjelaskan lanjutan masa dibuat susulan jangkaan pertambahan pengunjung ke pusat perniagaan terbabit pada 10 hari terakhir Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) Fakru Radzi Ab Ghani bercakap kepada media selepas majlis pelancaran dan pelepasan Konvoi Kembara Ramadan PREC Pesca 2023 di pusat beli-belah SACC, Shah Alam pada 10 April 2023. Foto REMY ARIFIN

“Melepasi dua minggu puasa, Festira menunjukkan peningkatan daripada segi pengunjung. Insya-Allah untuk tempoh berbaki, lebih ramai akan datang ke festival ini.

“Apatah lagi cuti sekolah hampir tiba, jadi pusat perniagaan ini pasti menjadi pilihan orang ramai membuat persiapan, maka kita akan lanjutkan waktu perniagaan tersebut,” katanya.

Beliau ditemui selepas pelepasan Konvoi Kembara Ramadan 2023 di sini, yang disempurnakan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Dalam pada itu, Fakru Radzi berpuas hati dengan hasil jualan peniaga, yang mencecah antara RM7,000 hingga RM20,000 pada hujung minggu, selain RM3,000 hingga RM5,000 untuk hari biasa.

“Saya percaya lebih banyak jualan akan diraih mereka memandangkan minggu ini kebanyakan orang ramai mendapat gaji dan akan membeli-belah di situ,” katanya lagi.

Bertemakan ‘Festira-Ya!’, Festira 2023 berlangsung selama 48 hari bermula 5 Mac sehingga 21 April dengan menyasar kehadiran 2.5 juta pengunjung.

Festival perayaan itu juga menarik penyertaan 1,000 usahawan berbanding 700 tahun lalu.


Pengarang :