AGENDAJENAYAH

Wanita OKU maut dalam kebakaran rumah

BUKIT MERTAJAM, 11 APRIL: Wanita orang kurang upaya (OKU) maut selepas rumahnya di Kampung Alma , di sini terbakar dalam kejadian hari ini.

Mangsa Nuraida Hashim,43, yang merupakan OKU ketidakupayaan mental ditemukan tidak sedarkan diri di atas katil dalam biliknya sebelum pemeriksaan pasukan perubatan mendapati wanita itu sudah meninggal dunia.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Fazlee Mohamad berkata pihaknya menerima pangilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 5.08 petang sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam tiba 12 minit kemudian.

“Apabila pihak bomba tiba mendapati sebuah rumah jenis batu setingkat berkeluasan kira-kira 250 meter persegi sedang terbakar dan kami dimaklumkan terdapat seorang wanita masih terperangkap di dalam kediaman tersebut.

“Pihak bomba berjaya mengeluarkan wanita itu yang berada di atas katil dalam sebuah bilik di rumah tersebut ke tempat selamat, namun pemeriksaan pasukan perubatan mendapati mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Fazlee berkata pihaknya berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak ke rumah lain pada 5.31 petang dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 6.26 petang.

Katanya, kebakaran itu telah menyebabkan kira-kira 40 peratus rumah tersebut terbakar dan setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata operasi memadam kebakaran itu dilakukan lebih 50 pegawai dan anggota bomba yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela(PBS) Kota Permai, PBS Cross Street dan PBS Juru.

– BERNAMA


Pengarang :