AGENDAJENAYAH

Dua beradik warga singapura ditahan dera, amang seksual pelajar tahfiz

MELAKA, 13 MEI: Polis menahan dua lelaki yang merupakan adik-beradik warga Singapura yang dipercayai terlibat dalam kes penderaan dan amang seksual fizikal kanak-kanak pelajar tahfiz di Tanjung Minyak.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata penahanan suspek yang merupakan pengasas pusat tahfiz berusia 40 tahun itu, dan warden asrama berkenaan yang berumur 36 tahun, dibuat susulan enam laporan polis yang diterima.

“Laporan polis dibuat oleh enam pelajar pusat tahfiz terbabit yang berumur 13 hingga 15 tahun di Balai Polis Batang Tiga antara pukul 6.29 petang dan 9.13 malam, semalam. Tangkapan pertama pada pukul 1 tengah hari manakala tangkapan kedua pada 1.30 tengah hari di Pusat Tahfiz Tanjong Minyak hari ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kejadian berlaku beberapa kali di dua pusat tahfiz iaitu di Tanjung Minyak dan juga Alor Gajah serta di kondominium di Klebang, bagaimanapun kanak-kanak itu tidak dapat mengingati tarikh tepat, namun kali terakhir dikatakan berlaku pada 7 Mei lepas.

Zainol berkata suspek pertama pernah mempunyai rekod lampau atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal serta liwat pada 2019, dan permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-BERNAMA


Pengarang :