Pemain beregu wanita negara Pearly Tan dan M Thinaah menang ke atas beregu Taiwan Hsu Ya Ching-Teng Chun Hsun 21-15 19-21 21-15 dalam perlawanan peringkat kumpulan C Piala Sudirman pada 17 Mei 2023 di Suzhou, China. Foto Facebook Persatuan Badminton Malaysia
AGENDASUKANKINI

Piala Sudirman: Malaysia bertemu Denmark di suku akhir petang ini

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Skuad badminton negara yang menjuarai Kumpulan C di peringkat kumpulan Piala Sudirman 2023, diundi bertemu Denmark, Naib Juara Kumpulan A pada aksi suku akhir kejohanan itu yang dijadualkan berlangsung jam 5 petang hari ini waktu Malaysia.

Majlis undian itu berlangsung di Suzhou, China malam tadi.

Perlawanan suku akhir itu nanti juga akan menyaksikan Korea Selatan berhadapan Taiwan, China menentang Indonesia dan Thailand bertemu Jepun.


Malaysia bertemu Denmark pada jam 5 petang 19 Mei 2023 di Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China. Foto Facebook Persatuan Badminton Malaysia

Jika Malaysia melepasi peringkat suku akhir, skuad negara akan bertemu sama ada Korea Selatan atau Taiwan di separuh akhir.

Pada peringkat kumpulan, Malaysia menjuarai Kumpulan C selepas menang tiga perlawanan mengalahkan Australia 5-0, India 5-0 dan Taiwan 4-1.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam saingan Piala Sudirman adalah mara sehingga separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China dan 2021 di Vantaa, Finland.

– BERNAMA


Pengarang :