Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Turkiye Presidential Complex, Bestepe, untuk bertemu dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Ankara, Turkiye, 15 Februari 2023. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

PM ucap tahniah Erdogan menang, harap tingkat kerjasama dua hala

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai pemimpin dunia yang lain mengucapkan tahniah kepada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang telah memenangi pilihan raya penentu pada Ahad.

Anwar dalam ucapan tahniahnya berkata Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan Turkiye untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala sedia ada.

“Tahniah kepada Tuan Yang Terutama Presiden Erdogan kerana dipilih sebagai Presiden ke-13 Republik Turkiye dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.

“Turkiye akan terus memainkan peranan membina sebagai pemain serantau dan global yang penting,” kata Anwar di akaun Twitternya.

Pengerusi Majlis Pilihan Raya Turkiye, Ahmet Yener, mengumumkan Erdogan telah dipilih semula sebagai presiden dalam pilihan raya penentu yang diadakan pada Ahad, dengan mengatasi pencabarnya Kemal Kilicdaroglu.

Menurut keputusan tidak rasmi, Erdogan memperoleh 52.14 peratus, manakala Kilicdaroglu mendapat 47.86 peratus undian.

Pada pengundian pusingan pertama 14 Mei lalu, Erdogan memperoleh kelebihan hampir lima mata ke atas Kilicdaroglu tetapi gagal mencapai 50 peratus undian yang diperlukan untuk menang.

— BERNAMA


Pengarang :