PBTSELANGOR

MPAJ kutip RM40.5 juta cukai taksiran setakat 30 Mei

OLEH YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

AMPANG, 27 JUN: Sejumlah RM40.5 juta cukai taksiran dikutip Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) antara Januari hingga 30 Mei 2023, maklum yang dipertuanya.

Dr Ani Ahmad berkata kutipan itu meningkat RM0.56 juta atau 1.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan anggaran RM87.5 juta perlu dikutip tahun ini.

“MPAJ turut mengutip tunggakan cukai taksiran sebanyak RM8.3 juta bagi tempoh sama tahun ini. Kutipan itu menurun sebanyak RM5.72 juta atau 40.56 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Bercakap dalam mesyuarat penuh bulanan di Menara MPAJ hari ini, laporan keseluruhan kutipan menurun sebanyak RM5.16 juta dengan kadar penurunan 9.54 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau berkata anggaran kutipan cukai tersebut ditetapkan dalam belajawan tahunan pihak berkuasa tempatan itu.

Jelasnya, sasaran kutipan tunggakan cukai pula sebanyak RM17 juta, dengan 129,009 jumlah bil yang dikeluarkan bagi penggal pertama.

 


Pengarang :