Jentera pengkaut digunakan untuk meroboh ketika operasi meruntuhkan bangunan tanpa kebenaran di tepi jalan atas tanah lapang di SSS13, Subang Jaya pada 6 Jun 2023.FotoMOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ roboh bengkel lori operasi secara haram di pangsapuri SS13

SUBANG JAYA, 6 JUN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merobohkan sebuah bengkel lori yang beroperasi secara haram di belakang pangsapuri SS13/1 di sini hari ini.

Pengarah korporat dan pengurusan strategik MBSJ berkata tindakan dilakukan susulan aduan orang awam dan tinjauan penguatkuasaan berhubung pencerobohan tanah kerajaan di belakang pangsapuri berkenaan.

“Oleh demikian, MBSJ mengambil tindakan merobohkan bengkel lori haram yang telah beroperasi beberapa tahun dan difahamkan penduduk diugut untuk tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa tempatan.

“MBSJ telah berikan notis serta merta di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) tetapi kita tetap beri masa kepada mereka untuk mengemas sebelum tindakan perobohan diambil,” kata Muhammad Azli Miswan.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya tidak membina sebarang bangunan atau menjalankan perniagaan di atas tanah milik kerajaan.

“MBSJ berharap penduduk setempat bekerjasama dengan menjaga kebersihan kawasan demi keselesaan semua dan tidak membina struktur haram di atas tanah rizab kerajaan.

“Selepas operasi ini, kita akan minta kerjasama daripada KDEB Waste Management (KDEBWM) dan pemantauan Jabatan Alam Sekitar membersihkan sisa sampah dan binaan supaya tidak beri kesan kepada penduduk,” katanya.

Turut dirobohkan pada operasi sama ialah sebuah stor simpanan barang, garaj, reban ayam selain menyita sebuah tong sampah Roll-On Roll-Off (RORO).

Operasi dijalankan dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Jabatan Bangunan MBSJ dan polis.

Pada 29 Mei lalu, MBSJ telah memberikan notis perobohan kepada bengkel kenderaan tersebut serta menyita enam kenderaan pelbagai guna (MPV), satu kepala lori serta pelbagai barangan bengkel.


Pengarang :