EXCO Pertanian Ir Izham Hashim ditemui selepas merasmikan Pesta Memancing Bagan Lalang di Jeti Sirip Biru, Sepang pada 24 Jun 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGROKINI
EXCOSELANGOR

Amanah tanding sembilan kerusi termasuk Hulu Bernam

KLANG, 17 JULAI: Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor bertanding sembilan kerusi termasuk Hulu Bernam dalam pilihan raya negeri (PRN), kata Pengerusinya Ir Izham Hashim.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada peringkat tertinggi yang menetapkan parti tersebut bertanding di Hulu Bernam manakala kerusi Jeram ditandingi calon Barisan Nasional (BN).

“Amanah sebelum ini ada sembilan kerusi termasuk Jeram dan selepas perbincangan, akhirnya keputusan dipersetujui BN ambil Jeram dan Amanah bertanding di Hulu Bernam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas simbolik pecah tanah bagi kerja pembinaan kolam takungan dan kerja berkaitan di Lebuhraya Shapadu bersebelahan Taman Mutiara Bukit Raja di sini hari ini.

Pada 14 Julai, Ir Izham berkata Amanah meletak calon muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Serdang berikutan penyandang kerusi Dr Siti Mariah Mahmud dari parti sama tidak bertanding.

Pada 21 Jun, Dr Siti Mariah yang juga EXCO negeri menyatakan hasrat untuk tidak mempertahan kerusi berkenaan. Beliau sebelum ini menang dengan majoriti 14,363 undi pada 2018.

Selain itu, Ir Izham menjelaskan pembahagian 56 kerusi DUN di Selangor melibatkan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN telah selesai dan pengumuman calon dijangka pada 25 Julai.

Beliau yang juga EXCO negeri menambah proses rundingan kerusi tidak menganggu kerjasama dan gerak kerja jentera pilihan raya HARAPAN dan BN sekalipun proses rundingan masih berlangsung.

“Hubungan akrab bukan hanya pembahagian kerusi tetapi juga jentera pilihan raya,” katanya lagi.


Pengarang :