Hee Loy Sian (dua, kanan) meninjau Tapak Projek Ladang Solar Selagor di Bukit Changgang, Kuala Langat pada 30 April 2021. Foto BERNAMA
EXCOSELANGOR

Optimum guna tenaga solar, capai pengurangan karbon 45 peratus menjelang 2030

HULU LANGAT, 17 JULAI: Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai usaha bagi mencapai sasaran pengurangan karbon sebanyak 45 peratus termasuk mengoptimumkan penggunaan tenaga solar menjelang 2030

EXCO alam sekitar dan teknologi hijau berkata pemasangan lampu tenaga solar di seluruh negeri selain pembinaan ladang solar di tasik atau tanah terbiar antara yang diberi tumpuan.

EXCO Pelancongan Dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Hee Loy Sian (tengah) ditemui ketika majlis penyerahan lampu tenaga solar melalui Projek Pembangunan Teknologi Hijau Negeri Selangor di SJK (C) Sungai Chua pada 17 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/ SELANGOR KINI

“Ini adalah salah satu usaha kita untuk menggalakkan pengunaan tenaga boleh baharu ke arah mencapai sasaran pengurangan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan sifar karbon pada 2050.

“Selain itu projek sisa kepada tenaga (WTE) serta pembinaan stesen minihidro di Batang Kali untuk penjanaan elektrik,” kata Hee Loy Sian hari ini.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan program pemasangan lapan tiang lampu tenaga solar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Chua di sini membabitkan peruntukan RM20,000.

Loy Sian berkata keputusan syarikat kenderaan elektrik Tesla Inc yang bakal membuka ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman di Selangor tahun ini menyokong lagi usaha pengurangan karbon.

“Dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang penggunaan kereta elektrik di Selangor akan bertambah dan kita juga dalam usaha menambah stesen pengecas kenderaan ini,” katanya.

Sebelum ini, Loy Sian berkata Kerajaan Negeri memfokuskan tiga hala tuju dalam mencapai sasaran pengurangan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Antara program yang dirancang dalam memastikan matlamat itu tercapai ialah kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan sisa pepejal.


Pengarang :