Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
AGENDAJENAYAH

Sindiket penyeludupan sisik tenggiling antarabangsa tumpas, tujuh lelaki ditahan

PUTRAJAYA, 15 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dipercayai turut menyogok penguat kuasa serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram dalam serbuan di Klang, Selangor dan ibu kota semalam.

Menurut sumber, serbuan dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM menerusi Op Jaguar di sebuah premis di Klang, Selangor dan di Kuala Lumpur semalam hasil maklumat daripada agensi penguat kuasa dari Amerika Syarikat serta maklumat hasil risikan di United Kingdom dan Hong Kong.

Katanya menerusi serbuan di Klang, SPRM merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai kira-kira RM23.4 juta manakala di Kuala Lumpur pula rampasan membabitkan beberapa kenderaan mewah yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

“Susulan operasi ini, tujuh lelaki berusia antara 30 hingga 59 tahun membabitkan warganegara Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan Nepal ditahan,” katanya.

Menurut sumber itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Empat lelaki daripada individu ditahan itu yang merupakan warga tempatan direman bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes tersebut manakala tiga lelaki lain yang merupakan warga asing diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Tiga individu berkenaan direman sehingga Selasa ini manakala seorang lagi direman dua hari sehingga esok setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini.

Menurut sumber itu, individu yang direman berusia antara 30 hingga 50-an dipercayai ditahan di pejabat SPRM Selangor jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA.

– BERNAMA


Pengarang :