Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mencuba menerbangkan kapal terbang kawalan jauh ketika melawat Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark pada 8 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KBS bangunkan sukan udara, selaras garis panduan pihak berwajib

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi menyokong pembangunan sukan udara.

Menterinya Hannah Yeoh berkata pihaknya kini dalam proses untuk bertemu dengan persatuan terlibat bagi mendapatkan maklumat terperinci selain menyelaraskan garis panduan serta keperluan pihak berwajib.

“Sukan udara merupakan satu jenis sukan baharu di negara ini dan akan melihat kaedah pembangunan dengan sokongan kerajaan persekutuan dan negeri.

“Untuk permulaan, bulan lepas kita telah meluluskan permohonan Persatuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) untuk memiliki pusat latihan tetap di MRANTI Park, Bukit Jalil,” katanya selepas melawat Pameran Udara Selangor 2023 (SAS 2023) di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong di sini, hari ini.

Semalam, SAS 2023 yang membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri penerbangan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pameran yang mengangkat tema ‘Selangor Hab Penerbangan Am dan Perniagaan ASEAN’ SAS 2023 itu berjaya menarik 117 pempamer dengan lebih 50 pesawat statik mengambil bahagian.

Menyasar dilaksana pada skala lebih besar menjelang 2025, pameran yang mendedahkan orang ramai kepada dunia aeroangkasa itu turut disasar menjadi pameran udara nombor satu di rantau Asia dan Asia Tenggara menjelang 2030 daripada segi kualiti pelawat yang ditarik.

Pameran pada kali ini juga menyasar potensi nilai transaksi RM700 juta dan antara negara terlibat Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Pempamer Afiq Azahari menunjukkan cara kawalan dron menggunakan realiti maya kepada pengunjung di reruai pameran Nocturnal ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 8 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :