Penyanyi dan penari lagu tema bersama peraga baju kebudayaan 13 negara peserta membuat persembahan pada majli prapelancaran Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Petaling Jaya pada 25 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ jadi tuan rumah Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik

SHAH ALAM, 8 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diberi kepercayaan mewakili negara dalam penganjuran Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik pertama pada 21 hingga 26 September ini.

MBPJ memaklumkan penganjuran dengan kerjasama Majlis Antarabangsa Festival dan Pertubuhan Kesenian Rakyat (CIOFF) Malaysia diadakan di Pusat Bandar Seksyen 52, Petaling Jaya.

“Kerajaan Negeri pada 2015 telah mengisytiharkan Petaling Jaya sebagai sebuah Kota Seni selaras dengan komitmen berterusan dan pencapaian MBPJ dalam usaha mempromosikannya.

“Petaling Jaya merupakan destinasi pelancongan antarabangsa berteraskan kepelbagaian dan keharmonian kesenian dan kebudayaan, khususnya melalui penganjuran Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa Petaling Jaya, sebelum ini,” maklumnya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir (belakang, tengah) bergambar bersama peraga baju kebudayaan 13 negara peserta pada majlis prapelancaran Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Petaling Jaya pada 25 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Sebanyak tujuh aktiviti utama disenarai dalam program selama lima hari antaranya persembahan kebudayaan antarabangsa, gerai pameran dan persidangan kesenian.

Selain itu, pengunjung berpeluang menyertai seminar kerjaya, perbincangan meja bulat, pertandingan tarian dan acara kemuncak iaitu konsert serta persembahan bunga api.

Antara negara yang akan menyertai festival itu ialah China, India, Indonesia, Jepun, Thailand, Iran, Palestin, Filipina, dan Sri Lanka, serta beberapa kolej kesenian antarabangsa.

Beberapa selebriti dan tokoh kesenian negara juga dijangka hadir seperti pelakon dan pensyarah, Dr Norzizi Zulkifli, komposer Azmeer dan Datuk Prof Razak Mohaideen.

Majlis perasmian festival itu dijangka disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.


Pengarang :