Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan, Permaisuri zahir dukacita kemangkatan Tunku Ampuan Najihah

SHAH ALAM, 8 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas kemangkatan bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan Almarhum Tunku Ampuan Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat memberikan penghormatan terakhir dan menziarahi jenazah Almarhum di Istana Nurul Jannah, Kuala Lumpur.

“Almarhum Tunku Ampuan Najihah juga adalah Raja Permaisuri Agong kepada Yang di-Pertuan Agong ke-10 Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman yang menduduki takhta negara pada 1994 hingga 1999.

“Anakanda Almarhum Yang Amat Mulia Tengku Puan Panglima Raja Selangor Tunku Irinah Almarhum Tuanku Ja’afar adalah isteri kepada adinda DYMM Sultan Selangor YAM Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,” maklum Selangor Royal Office di Facebook.

Tunku Ampuan Najihah mangkat pada usia 100 tahun di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur pada 6.53 pagi hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim dalam kenyataan memaklumkan jenazah Almarhumah akan disemayamkan di Istana Besar Seri Menanti dan akan dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti pada hari ini selepas waktu Asar.

Foto Facebook Selangor Royal Office

 


Pengarang :