Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan sempena Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Damansara di tapak Ppsar tani Kampung Melayu Subang pada 2 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat cadang wujud kedai jualan murah di setiap DUN

SHAH ALAM, 2 OKT: Pentadbiran negeri dicadang mewujudkan kedai Jualan Ehsan Rahmah (JER) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan asas.

Wakil rakyat Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata ia juga bakal memanfaatkan lebih ramai penduduk terutama berpendapatan rendah (B40) untuk membeli barangan pada harga murah.

“Kita tahu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) ada membuka kedai yang menjual barangan seperti di JER tetapi lebih baik jika dapat diwujudkan di setiap DUN.

“Menerusi kedai juga, pembeli tidak perlu mencari lokasi jualan murah setiap hari dan beratur panjang untuk menunggu giliran,” katanya selepas meninjau jualan tersebut di sini hari ini.

JER yang diperkenal tahun lalu memanfaatkan lebih lima juta penduduk dan menawarkan pelbagai barangan asas seperti ayam standard RM10 seekor dan telur gred B (RM10 sepapan).

Usaha berkenaan melayakkan PKPS menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :